My Memory

Saturday, April 10, 2010

"OKU" pun manusia juga...

Alhamdulillah kesihatan aku dah semakin pulih walaupun badan aku masih lemah sikit. Hari ini aku ada seorang “customer OKU”. Dalam pertemuan kami yang singkat aku sempat mengenali dirinya. Walaupun pertuturannya agak sukar aku fahami, namun aku tahu dia mengerti apa yang cuba aku sampaikan kepadanya. Namanya Fatimah dan berumur 22 tahun. Walaupun umurnya sudah menjangkau 22 tahun namun tubuh badannya amat kecil bagaikan budak yang baru berumur 12 tahun. Aku sempat berbual dengan ibunya seketika untuk mengetahui perihal Fatimah bukan untuk menyibuk tetapi atas dasar ambil berat dan ingin tahu. Malah bersimpati dengannya. Dia datang bersama dengan ibu angkatnya untuk mengambil gambar. Berdosakah mendapat anak OKU? Sehingga ibu kandungnya sendiri malu untuk membesarkan dia lalu diserahkan kepada orang lain. Kasih sayang seorang ibu tidak dapat dinilai walaupun hanya “ibu angkat”. Hatiku jadi sayu dan berasa sebak apabila ibu angkat Fatimah berkata “makcik tidak tahu apa akan jadi kepada Fatimah bila makcik sudah tiada” ini kerana ibu angkat Fatimah sudah berusia 50tahun. Aku yakin fatimah sendiri pun tidak mahu dilahirkan sedemikian kerana itu bukan pintanya. Fatimah berdiri disebelah aku ketika aku sibuk menyiapkan gambarnya. Matanya melihat dengan penuh kagum dan segala gerak geri tangan aku menjadi perhatianya. Aku tahu Fatimah pun teringin membuat perkara yang sama namun keupayaannya terbatas. Bertemu dengan mereka berdua benar-benar memberi keinsafan kepada aku. Aku bersyukur dengan segala anugerah Allah yang telah memberikan aku akal dan fizikal yang sihat kerana tidak semua orang bernasib baik untuk mendapatkannya seperti Fatimah. Semoga kehidupan Fatimah dilimpahi dengan kebahagian daripada orang tersayang. Amin. Blog aku ini bukanlah sebagai diari tapi sekadar mencatat apa yang terjadi semasa aku bekerja dan sebagai teman untuk meluahkan.

No comments:

Post a Comment