My Memory

Friday, April 30, 2010

Tak Suka...!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Aku fikir setelah sekian lama perkara yang amat menyakiti hati aku tidak akan berulang kembali. Memang betul hidup ini ibarat roda yang sentiasa berputar dan tidak akan berhenti sehinggalah sampai waktunya. Kenapa "Dia" mesti muncal kembali dalam hidup ini setelah kehadirannya dulu memberikan aku satu kesan yang amat dalam pada hati ini.Sekian lama hilang tanpa berita kini,semalam dia menghubungi aku dan semalaman jualah aku tidak melelapkan mata ini. Bila dia kembali, seumpama aku bermimpi disiang hari dan mimpi itu akan hilang apabila aku terjaga. Aku sudah tidak teringin mempertaruhkan hati ini lagi. Kini aku tahu siapa aku pada pandangan matanya kerana dia tidak dapat melihat aku melalui mata hatinya. Hanya sekadar beralasan untuk bertanya khabar, aku tidak kisah dengan ambil beratnya itu. Hati aku benar-benar telah tertutup untuknya. Hari ini juga aku telah lupa bawa kunci kedai yang menyebabkan aku terpaksa berpatah balik ke rumah semula.....hissssshhhhhhhhhhh..........!!!!!!!!!!

Saturday, April 24, 2010

"syllabus emotion"

Hari ini bila aku masuk ke ruang perbincangan, tiba-tiba hatiku jadi pilu yang amat sangat kerana aku terbaca satu kenyataan yang aku sendiri takut untuk menghadapinya. Aku tidak dapat membayangkan keadaan wanita tersebut yang aku panggil akak. Hanya kerana isu tiada zuriat satu perkahwinan yang kukuh boleh terlerai jua. Hakikatnya, beberapa hari yang lalu seorang wanita bangkit untuk berkongsi rasa dukanya bersama rakan-rakan yang untuk mendapatkan pandangan dan nasihat berkenaan perkahwinannya yang kian retak menanti belah. Kini segalanya telah berakhir bila wanita tersebut memfailkan surat cerai pada hari Jumaat yang lalu kerana sudah tidak dapat bertahan apabila mengetahui insan yang disayanginya mempunyai perempuan lain tanpa pengetahuannya. Perkahwinan mereka yang terbina sekian lama selama 8 tahun musnah begitu sahaja. Ada kenyataan rakan yang paling menyentuh hati aku apabila terpaksa menahan segala siksaan daripada seorang suami yang sepatutnya melindungi tetapi. Mungkin aku terlalu muda untuk menyertai perbincangan mereka semua yang telah mendirikan rumah tangga. Tetapi aku sebagai wanita turut merasai segala kepahitan yang mereka alami di alam perkahwinan melalui kenyataan mereka. Hanya nasihat yang mampu aku berikan. Terkadang aku hanya mampu menahan sebak bila membaca kenyataan mereka…banyak pengajaran yang aku dapat daripada perbincangan mereka semua kerana satu hari nanti aku juga akan bergelar seorang isteri dan ibu. Tapi bila??:) Hanya Allah Maha Mengetahui dan aku yakin kepadaNYA kerana satu hari aku akan memperolehi kebahagian. Insy’allah… Wahai Puteriku Sayang Kau Bunga Kebanggaan by hijjaz ( renung-renungkanlah wahai kaum adam dan hawa ).

Thursday, April 22, 2010

Ruang Baru Buat Aku....:-)

Sudah beberapa hari kau mengikuti ruang perbincangan Ustazah Siti Norbahyah Mahamood dan Dato’Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsa. Aku berasa gembira kerana dapat berbincang dengan rakan-rakan yang lain mengenai masalah yang berkaitan agama, hati dan perasaan setiap wanita dan lelaki, dan gejala sosial masa kini. Semua orang bebas memberikan pendapat masing-masing dan dapat bersoal jawab sesama rakan yang lain. Malah perbincangan ini dapat dikongsikan bersama kaum adam dan hawa. Tetapi aku hanya akan memberikan pendapat kalau isu tersebut menarik minat aku untuk berbuat sedemikian. Kalau aku tidak memberikan pendapat aku boleh baca pendapat rakan-rakan yang lain yang sememangnya baik-baik dan dapat memberi kesedaran pada aku tentang sesuatu perkara. Dimana selama ini aku hanya memandang perkara itu tidak penting. Walau kadang kala terdapat pendapat yang agak kasar sedikit bahasanya, namun akan ada rakan yang lain memberikan nasihat. Setiap orang akan ada pendapat yang berbeza dan amat menarik apabila terdapat perbahasan yang masing-masing ingin menegakkan kebenaran pendapat sendiri walau ada sebahagian rakan yang menafikan pendapat tersebut. “Part” paling “best” apabila ada pendapat yang berada diluar tajuk perbincangan dan akan wujudlah pihak yang meremehkan pandapat tersebut. Selepas itu akan wujudlah pula pihak yang mendamaikan….. kehadiran rakan-rakan dalam ruang perbincangan tersebut betul-betul menggamatkan suasana dan menceriakan hari-hari aku. Apabila ada tajuk perbincangan yang masuk “syllabus emotion” sememangnya amat menyedihkan dan memerlukan sokongan dari rakan-rakan yang lain. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi maka genaplah sudah 17tahun ibu “PERGI”. Disebalik kesedihan ada sesuatu yang menggembirakan iaitu hari lahir adik bongsu aku yang akan menjangkau usia 17tahun “special gift”……

Monday, April 19, 2010

ok atau tak...???

Pernakah anda atau sesiapa saja mendengar irama lagu yang begitu indah sewaktu anda bersendirian dan bukan dalam keadaan termenung. Satu irama yang membuatkan kita berasa tenang dan bebas dari semua masalah. Seolah-olah irama tersebut tercipta untuk kita seorang. Irama kedamaian yang lahir dari hati membuatkan kita mengukir senyuman tulus ikhlas tanpa paksaan sesiapa walaupun saat itu kita sedang bersendirian. Macam keadaan aku sekarang juga senyum seorang diri. Agak-agaknya orang lain akan fikir aku ini dah tak waras lagi…. Duhai sang dinding dan meja-meja berkatalah dengan aku. Hahaha…… maka berkatalah sang dinding “cik akak leh tak jangan coret-coret badan aku dengan muka orang senyum dah banyak sangat cik akak coret” aku pun jawablah “Tak nak! Tak nak! Tak nak! Akak nak coret jugak. Sekurang-kurangnya ada juga yang senyum kat akak ni” Tiba-tiba sang meja menyampuk “wahai cik akak dan sang dinding lehkah jangan bertekak! Mej’a nak tido petang ni”……..barang siapa yang tak kenal dengan aku tolonglah fikirkan aku ini masih dalam tahap kewarasan seorang manusia yang normal….. Cuma cara setiap insan itu berbeza dan aku ada cara tersendiri….

Sunday, April 18, 2010

hidup...

Hidup ini bukanlah sesukar yang kita selalu bayangkan. Tetapi kadang-kadang cara untuk kita melalui satu hari yang penuh memerlukan banyak pengorbanan. Bagaimana dan sanggupkah kita melakukan pengorbanan? Tentu jawapannya “YA” bila pengorbanan itu untuk kebahagian sesiapa sahaja dan membawa makna kepada orang yang berada disisi. Lebih-lebih lagi bila kita terpaksa melakukan sesuatu bukan diatas kehendak diri. Begitu payah untuk kita menggembirakan semua insan yang berada disisi kita. Masing-masing memerlukan perhatian dari kita. Sehinggakan hati kita terluka tanpa disedari. Diri terabai tetapi adakah mereka pedulikan kita??.. menggembirakan orang lain kadang-kadang mengundang rasa letih yang amat sangat. Segala penat lelah itu tiada erti berbanding dengan kegembiraan yang kita perolehi. Begitulah kehidupan semua tidak akan tercapai tanpa pengorbanan. Menulis sesuatu yang lahir dari hati membuat aku jadi lebih tenang dan ceria. Tanpa aku luahkan pada sesiapa aku mampu mencari kebahagian aku. Tetapi teman paling sejati akan sentiasa ada disisi walau aku kemana sahaja. Aku yakin padaNYA… kerana DIA selalu ada buat aku. Aku tak pernah keseorangan. Walaupun dahulu aku pernah merasa bahawa dunia ini tiada tempat dan teman sejati buat aku. Sekarang aku mula menerima segala perubahan yang perlahan-lahan dalam diri aku. Alhamdulillah…walau terkadang aku mudah terpengaruh dengan emosi namun sedikit demi sedikit aku mula dapat mengawalnya. Tentu belum terlambat….

Thursday, April 15, 2010

tah....!!!

Hari ini hujan turun lebat sangat membaluti aku dengan kedinginan...sedang tika ini fikiran aku melayang bak layang-layang mencari kebebasan...aku rasakan terkurung dalam sangkar emas yang tiada harga bagiku. aku meronta-ronta ingin melarikan diri mencari erti sebuah ketenangan terjatuh sekian kalinya..kakiku terikat dengan rantai besi....semakin kuat aku cuba semakin lelah membaham keinginanku.... jikalau dinding boleh berkata tentu dinding pun dah bosan hari-hari tengok aku...hahaha...sabo jelah duhai sang dinding...

aku hidup dalam dunia aku.....bila siapa wujud dan datang ke dunia aku...dia akan menganggu semula ketenangan aku kerana selama ini aku dah "terbiasa" keseorangan..

Monday, April 12, 2010

"Temanku...Customer"

Hari ini aku ada seorang “customer” perempuan dan dia memakai purdah. Walaupun aku dan dia baru pertama kali berjumpa namun seperti kami pernah kenal lama. Banyak topik yang kami bualkan. Tetapi metilah dia banyak cerita tentang agama sebab dia seorang ustazah kat madrasah Tawau. Semasa dia bergambar aku sangat suka lihat mukanya seperti bercahaya dan amat bersih sekali. Itulah pada pandangan aku terhadap akak tu. Disebalik cerita ini aku ingin berkongsi sesuatu dengan sesiapa sahaja. Biarpun individu tersebut baru pertama kali kita kenali namun melalui hubungan silaturahim yang baik, kita seolah-olah ingin bercerita dengan tentang semua topik dengannya. Tiba-tiba hati kita ingin berkongsi cerita dengan mereka. Begitulah yang aku rasakan tiap kali aku bertemu dengan “customer”aku. Sehingga kini mereka akan memanggil aku dengan gelaran “akak ramah”. Tua atau muda aku lebih suka mereka panggil aku “akak”. Aku gembira mereka memanggil aku “akak” “akak” dan “akak”. Tetapi aku tak paksa juga mereka untuk memanggil aku begitu. Hanya “customer” yang benar-benar rapat dengan aku mereka dah tahu aku orang yang macam mana.

Saturday, April 10, 2010

"OKU" pun manusia juga...

Alhamdulillah kesihatan aku dah semakin pulih walaupun badan aku masih lemah sikit. Hari ini aku ada seorang “customer OKU”. Dalam pertemuan kami yang singkat aku sempat mengenali dirinya. Walaupun pertuturannya agak sukar aku fahami, namun aku tahu dia mengerti apa yang cuba aku sampaikan kepadanya. Namanya Fatimah dan berumur 22 tahun. Walaupun umurnya sudah menjangkau 22 tahun namun tubuh badannya amat kecil bagaikan budak yang baru berumur 12 tahun. Aku sempat berbual dengan ibunya seketika untuk mengetahui perihal Fatimah bukan untuk menyibuk tetapi atas dasar ambil berat dan ingin tahu. Malah bersimpati dengannya. Dia datang bersama dengan ibu angkatnya untuk mengambil gambar. Berdosakah mendapat anak OKU? Sehingga ibu kandungnya sendiri malu untuk membesarkan dia lalu diserahkan kepada orang lain. Kasih sayang seorang ibu tidak dapat dinilai walaupun hanya “ibu angkat”. Hatiku jadi sayu dan berasa sebak apabila ibu angkat Fatimah berkata “makcik tidak tahu apa akan jadi kepada Fatimah bila makcik sudah tiada” ini kerana ibu angkat Fatimah sudah berusia 50tahun. Aku yakin fatimah sendiri pun tidak mahu dilahirkan sedemikian kerana itu bukan pintanya. Fatimah berdiri disebelah aku ketika aku sibuk menyiapkan gambarnya. Matanya melihat dengan penuh kagum dan segala gerak geri tangan aku menjadi perhatianya. Aku tahu Fatimah pun teringin membuat perkara yang sama namun keupayaannya terbatas. Bertemu dengan mereka berdua benar-benar memberi keinsafan kepada aku. Aku bersyukur dengan segala anugerah Allah yang telah memberikan aku akal dan fizikal yang sihat kerana tidak semua orang bernasib baik untuk mendapatkannya seperti Fatimah. Semoga kehidupan Fatimah dilimpahi dengan kebahagian daripada orang tersayang. Amin. Blog aku ini bukanlah sebagai diari tapi sekadar mencatat apa yang terjadi semasa aku bekerja dan sebagai teman untuk meluahkan.

Friday, April 9, 2010

:-( tak sihat...

Dari semalam lagi kesihatan aku tak seberapa baik. Sebab itulah tak banyak yang aku nak "share" dengan semua. Aku tak nak pergi kerja tadi pagi tetapi memandangkan hari ini hanya "half day" jadi aku kuatkan semangat pergi kerja juga.

Wednesday, April 7, 2010

mmmmm.....

Hari ini awal pagi aku dah naik benggang dengan sekumpulan semut yang suka sangat menggigit orang. Dah puas aku halau tapi tetap degil nak gigit orang. Duhai sang semut yang jahat-jahat kenapa agaknya korang semua sangat dan tersangat nakal. Dah tak ada orang nak buat lawan semut dah jadi mangsa aku. Huhuhu… Kenapa agak-agaknya budak sekarang ini suka sangat menggunakan mulut yang sangat lancang dan suka hati je menghina orang. Amat mudah mengeluarkan perkataan yang tak sedap untuk didengar. Binggit juga telingga aku ini tapi apa yang boleh aku buat. Mereka semua “customer” terpaksalah aku pekakkan telingga dan buat-buat fokus dengan apa yang aku buat sekarang ini. Macam lirik lagu nasyid tu “jagalah hati jangan kau kotori” hehehe… sekarang baru pukul 10.37 am. Aku dah rasa lapar walhal tadi pagi aku dah sarapan juga. Duhai perut yang sentiasa lapar sabar tau tak lama lagi “time Lunch” tunggulah nasi dan lauk-lauk semua. Hahaha...( gelak dalam nada yang jahat )Tak sabar aku tunggu saat bercuti bulan hadapan aku nak pergi ke tempat kelahiran aku. Mudah-mudahan boss bagi cuti kalau tak siap boss aku pujuk rayu sambil buat muka yang amat sayu dan sesayunya…bayangkan… berapa jam dari sekarang aku akan balik rumah. Bila balik rumah tempat yang aku rindu adalah katil dan “Loma” yang sentiasa menemani tidur aku dan semua ahli keluarga aku.

Tuesday, April 6, 2010

Goog Luck...

Aku terasa seperti sedang mengira hari yang berlalu tak kira berapa banyak masa yang aku ada. Aku selalu inginkan masa bergerak lebih cepat dan pergi membawa seribu satu cerita yang aku miliki. Macam aku ini tamak sangat tapi setiap hari aku amat bermakna kini kerana aku memiliki cinta yang paling sejati dalam hidup aku. Dahulu aku sering kehilangan arah tapi sekarang aku semakin matang walau kadang-kadang aku seperti budak kecil yang perlukan belaian. Dah lumrah hidup manusia saling memerlukan. Tapi bagi aku sekarang ada perkara yang penting yang perlu aku selesaikan secepat mungkin. Aku ingin pergi jauh bukan untuk lari dari kenyataan hidup tapi mencari sesuatu yang akan merubah hidup aku. Bukan cari pasangan hidup tapi kerja lain selain kat “CC” ini. Aku ingin mencuba kehidupan lain di tempat lain yang pasti tempat itu masih di Sabah. Aku tidak ingin meninggalkan keluarga aku lagi kerana aku punya seorang nenek yang aku tahu satu hari nanti kami akan terpisah walau aku harap hari itu tidak akan datang tetapi kematian adalah sesuatu yang pasti. Nenek adalah segalanya bagi aku. Berkali aku sakiti hatinya berkali-kali dia akan menunjukkan rasa sayangnya bukan kerana simpati tetapi itu kasih sayang seorang nenek kepada cucu. Aku akan berasa senang hati dapat menulis sesuatu yang betul-betul lahir dari hati. Mungkin belum terlambat bagi aku untuk mencoret kisah hidup aku. Kita tidak tahu akan kedatangan ajal tetapi kita boleh bersedia dari awal. Aku ingin berusaha membina impian aku untuk berjaya. Walaupun aku belajar tidak setinggi mana tetapi itu tak bererti aku akan putus asa. Doakan aku berjaya dalam pencarian ini..

Monday, April 5, 2010

Duhai Nasib Sang Ular...

Hari ini aku berhadapan dengan seekor ular yang betul-betul wujud dihadapan aku sambil menegakkan badannya. Aku yang macam separuh sedar dari mimpi bagaikan tak percaya dengan “benda” yang berada dihadapan aku ketika itu. Tindakan pantas yang mampu aku lakukan adalah naik atas meja sambil pejamkan mata. Aku takut ular bercampur sekali dengan rasa geli. Aku sendiri tidak tahu dari ular itu datang tiba-tiba dah berada dibawah kerusi. Rasanya semangat aku dah tak bersatu dengan badan aku. Nasib aku baik ada seorang pelanggan yang sedang “online” di kedai waktu ini. Dengan pantas “adik” itu mengambil batang penyapu dan menahan ular itu dari terus bergerak. Akhirnya ular itu tewas ditangan budak yang berani itu. Walaupun ular itu membahayakan, tetapi aku tidak sampi hati untuk melihat budak itu membunuh ular tersebut. Aku hanya pejamkan mata serapat-rapatnya sambil memalingkan badan aku kearah belakang. Itulah pengalaman aku pada hari ini.

Sunday, April 4, 2010

saat manis

Rindu pula rasanya dengan zaman kanak-kanak aku dahulu. Tentu kawan-kawan yang lain macam aku juga. Kitakan manusia biasa takkan lari dari mengalami perasaan yang sama Cuma waktu untuk kita mengalaminya adalah berbeza-beza mengikut situasi berlainan. Mungkin ada yang sama tapi tidak pada tempat yang sama. Tiada tempat untuk aku meluahkan rasa hati hanya melalui blog aku ini sahaja. Semua kawan-kawan aku ada kehidupan masing-masing. Memang aku amat merindui sahabat-sahabat aku tetapi aku sendiri tidak boleh memaksa mereka untuk terus bersama aku dan mendengar setiap luahan aku. Aku tak nak pentingkan diri sendiri tetapi yang penting adalah aku sentiasa ada semua kawan-kawan aku tak kira susah ataupun senang. Zaman kanak-kanak adalah zaman paling bahagia bagi aku kerana masa itu aku tidak faham akan erti kehidupan lagi. Apa yang aku tahu semua ada untuk aku tak kira siang atau malam. Aku paling sayang zaman kanak-kanak aku kerana waktu itu arwah ibu masih ada lagi tempat untuk bermanja dan mendapatkan belaian. Aku lebih beruntung berbanding adik-beradik aku yang lain kerana mereka belum puas merasa kasih sayang ibu sebab itulah aku mencurah segala kasih sayang aku pada adik-adik tercinta. Aku tidak ingin mereka terluka dan terasa kehilangan walau aku tahu kadang-kadang mereka sama seperti aku. Rindu. Hubungan kami amat rapat bagaikan kembar sekali empat. Aku seorang yang nakal waktu kecil dahulu hinggakan aku pernah disengat lebah akibat terlalu seronok bermain sorok-sorok akhirnya sang lebah yang jumpa aku dulu. Hahaha… dahlah kena sengat balik rumah dapat lagi bahagian dari ibu sebab tak dengar cakap. Memanglah masa kecil kalau kena pukul sikit dah merajuk berbulan-bulan tapi sekarang dah faham semua itu kerana kasih sayang.

Saturday, April 3, 2010

Persahabatan tak kira usia

Agaknya semua kisah sedih aku berlalu dengan pantas. Aku sendiri pun tidak menyedari semua ini tapi yang pasti setiap kesedihan ada keindahan tersendiri. Sama seperti cerita aku pada kali ini. Aku ada seorang sahabat yang amat baik dan aku dah menganggapnya seperti kakak aku ini kerana aku tidak mempunyai kakak kandung. Adalah baiknya aku bermula dari tahap perkenalan kami sehingga menjadi sangat rapat. Aku amat menyayanginya kerana dalam satu tempoh yang panjang aku telah berpeluang untuk mengenalinya dengan lebih rapat. Setiap saat suka dan duka menjadi rahsia bersama malah kami berdua sama nasib sebab dia tidak mempunyai ayah dan aku tidak mempunyai ibu. Orang yang paling kami sayang telah dijemput pulang ke tempat asalNYA. Kami sama-sama redha dan pada satu ketika dia bersendirian dikatilnya sambil membelakangkan aku. Malah dia tidak mengendahkan sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut aku. Dalam keadaan yang tidak aku duga dia sedang menangis kerana terlalu merindui arwah ayahnya. Aku kehilangan kata kerana aku amat memahami keadaannya waktu itu. Hanya satu perkataan yang mampu aku ungkapkan kepadanya “ bersabarlah kerana aku tahu apa yang sedang kau rasakan”. Pada 8 April 2008, kami telah berkenalan di airport AirAsia kerana kami dapat tawaran untuk belajar di Kolej Negeri Seremban N9. Aku masih ingat lagi disebabkan satu usikan berkenaan bagasi kami mula berkenalan. Bila dikenangkan balik saat itu aku rasa sangat lucu.. Walaupun aku lebih muda 3tahun daripada dia tapi persahabatan kami kian erat ini kerana hanya dia yang dapat bertahan dengan perangai aku bak ombak kejap baik seindah mata memandang laut waktu senja damai kejap lagi macam laut bergelora yang boleh menenggelamkan kapal besar. Walau dah berumur tapi kami sama-sama nakal masa asrama dulu. Rasanya aku dah tak payah nak cerita lagi mengenai perkenalan dan keakraban kami berdua, cukuplah sampi sini sahaja. Masa ulang tahun kelahiran aku yang ke-22 tahun, ada sebuah hadiah yang tak pena aku lupakan sampi saat ini. Aku bukan jenis pendendam tapi peristiwa itu amat payah aku nak lupakan kerana aku takut hubungan mereka akan berakhir dengan kebencian. Seandainya ini yang berlaku mungkin dan pasti aku akan berasa bersalah walaupun aku sendiri menjadi mangsa penipuan mereka. Aku sendiri pun tidak mengerti kenapa aku masih ingat peristiwa itu walhal aku dah lama maafkan mereka berdua dan persahabatan kami tidak pernah terjejas kerana peristiwa itu. Disebabkan guruan yang mereka cipta untuk mengenakan aku akhirnya memberi kesan pada hubungan mereka berdua sehingga hampir membawa kepada perpisahan. Aku bersyukur dengan nikmat Allah kerana memberi aku kekuatan naluri hati yang amat kuat. Akhirnya, semua teka teki yang mereka mulakan terjawab apabila aku dapat tahu orang yang menghubungi aku adalah tunang sahabat aku sendiri. Aku sendiri tidak mengerti kenapa mereka sanggup mempertaruhkan hubungan mereka hanya kerana aku. Seandainya, perpisahaan mereka terjadi hanya kerana guruan yang amat menyakitkan hati aku. Tidak aku tahu apa yang akan terjadi pada dia kerana dalam hatinya hanya ada seorang kekasih yang siang hari malam sering mendoakan kebahagian menjadi milik mereka berdua iaitu “SYAHRIL”. Namun semua dugaan ini ada hikmahnya malah menjadikan hubungan mereka rapat bak pinang dibelah dua. Setiap kesedihan ada keindahan kini mereka dah sah bergelar suami isteri pada 21 Mac 2010 dan majlis persandingan mereka akan berlangsung pada 3 April 2010. Aku bersyukur kerana dia sudah menjadi milik orang lain yang bergelar suami. Sarina binti Said adalah sahabat dunia akhirat aku. Selamat penggantin baru dan semoga dikau menjadi isteri yang soleha malah dapat zuriat yang ramai dan comel-comel. Amin… masih banyak lagi cerita dalam hidup aku yang akan aku kongsikan bersama anda semua. Insy’allah…

Thursday, April 1, 2010

Saat Hati Bercerita Kebenaran Tercipta

Tidak aku tahu kenapa ruang sepi selalu menggunci hati dan merantai perasaan ini. Pada kedewasaan ini, aku selalu ingin membuat sesuatu perkara tanpa sesiapa pun. Namun aku selalu tersalah langkah dan pada saat itu benar-benar memerlukan seseorang untuk menemani aku. Bila aku pejam mata, aku seolah-olah berada ditengah-tengah padang yang tandus dan gersang, aku kehilangan arah dan tujuan. Aku takut untuk terus melangkah dan langkah aku terus terhenti pada tempat yang tak sepatutnya. Aku kini telah sampai pada satu tahap di mana aku sendiri menjadi binggung untuk mengatasinya. Langkah aku kaku dan terus berdiri mencari jalan kembali pulang. Aku tidak pernah berasa takut seperti ini seolah-olah maut telah menjemput aku pulang. Tangan dan kaki aku berasa seram sejuk nan kedinginan. Aku ingin lari tapi aku sendiri sudah tidak berdaya lagi. Aku terus terkapai-kapai tanpa bantuan dan keseorangan menempuh saat itu. Hanya yang mampu aku lakukan iaitu bertawakal dan berserah pada yang Esa. Akhirnya bila aku buka mata hati ini, aku dapat melihat sebuah cahaya yang amat terang dan tidak pernah aku lihat sebelum ini. Aku bangkit dari lena dan kelemasan yang membaluti diri. Aku terus berjalan dan berjalan tanpa mengenal erti letih dan putus asa. Aku berjalan menuju cahaya itu dan semakin aku aku cuba mendekatinya aku berasa semakin tenang dan segala kesepian dalam jiwa dan hati aku makin pudar. sekarang aku mampu menerima semua ujianNYA. Kini aku tahu kerana Cahaya Illahi aku telah kembali ke dunia nyata ini. Aku percaya dengan cinta sejati ini akan menemukan aku dengan kebahagian yang aku impikan selama ini. Inilah diri aku pada hari ini dan seterusnya, aku akan berusaha mencari kelemahan diri dan memperbaikinya. Aku kembali berjuang dengan semangat dan azam yang baru. Disebalik cerita ini, ada seorang sahabat yang memberikan aku kekuatan dan dorongan dengan sebuah nasihat dan ceritanya. Aku amat berterima kasih kepadanya kerana telah mengingatkan aku tentang sesuatu yang amat bernilai dari sebuah kesedihan iaitu "KEIMANAN". Siapa sahabat itu,biarlah menjadi rahsia hati ini dan tak perlulah aku ceritakan tetapi namanya akan terus bersama aku sampai bila-bila. Insy'allah.